
Great Wall Malaysia telah mengimpot dua model unik yang jelas beridentiti tersendiri dan jentera- jentera ini dijangka akan dilancarkan tidak lama lagi. Tawaran Ora Good Cat, jentera elektrik pertama GWM id Malaysia juga dikembangkan dengan satu warna baru, hijau pistachio.
Dengan rekabentuk retro-moden yang unik, si meow memang telah menarik banyak perhatian pengguna dan kini ia akan diteman oleh 07 yang mirip kucing yang lebih besar dan SUV Tank yang juga menawarkan satu gaya yang menonjol.
Menurut syarikat, warna hijau pistachio ditambah berdasarkan permintaan pasaran manakala dua model baru adalah usaha mereka untuk membuka pasaran yang lebih luas dalam pasaran Malaysia yang sedang rancak berubah.

Model 07 ialah jentera coupe empat pintu yang menggunakan rekabentuk lembut, organik dan bergaya retro moden dan ianya adalah satu tawaran yang dijangka dapat memenuhi permintaan pembeli yang mahukan produk yang lain dari yang lain dan mempunyai personality yang kukuh.
Model ini disertai SUV Tank 300 yang kelihatan mengambil inspirasi dari rekabentuk klasik SUV dan model ini adalah antara model popular untuk jenama GWM di China dan juga pasaran Timur Tengah.
Kedua model baru akan dilancarkan pada suku pertama 2024.

Model Ora 07 telah dilancarkan pada 1 Disember 2023 di Thailand dengan harga bermula THB1,299,000 (sekitar RM172,186) dan tertinggi pada THB1,499,000 (sekitar RM198,697).
ORA 07 adalah model Ora elektrik kedua GWM yang dilancarkan di Thailand dan ianya dikenali sebagai Ora Lightning Cat di pasaran China.
Pada pengenalan awal di Thailand ia diberi nama Grand Cat tetapi apda pelancaran mereka memmilih nama Ora 07. Antara komen yang kerap dinyatakan ialah terdapat persamaan luaran dengan Porsche Panamera.

Spesifikasi Ora 07 Long Range di Thailand dilengkapi dengan motor tunggal di bahagian hadapan yang menghasilkan 204 hp (metrik) dan 340 Nm yang menerima tenaga dari bateri litium-ion ternari 83.5 kWh.
Ora 07 Long Range dikatakan mempunyai julat NEDC sehingga 640 km.
Varian Performance Ora 07 di Thailand pula menampilkan dua motor yang menghasilkan 408 hp (metrik) dan 680 Nm ke semua roda (AWD).

Tenaga tersimpan dalam bateri 83.5 kWh yang sama, namun penghasilan kuasa tambahan bermakna julat jelajah adalah lebih pendek pada 550 km (NEDC).
Ora 07 di Thailand dilengkapi dengan ciri-ciri piawai seperti kerusi hadapan elektrik, skrin pemandu 10.25-inci, skrin tengah sesentuh 12.3-inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, sistem pencahayaan ambien, sistem bunyi 11 pembesar suara, dan sistem penyejukan udara automatik.
Dari segi keselamatan, Ora 07 di Thailand dilengkapi dengan ciri-ciri standard seperti kawalan pelayaran pintar (ICC), bantuan kesesakan trafik (TJA), bantuan mengekalkan lorong (LKA), amaran keberangkatan lorong (LDW), dan amaran laluan silang belakang (RCTA). DOW, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), dan sistem kamera 360 darjah juga termasuk. Tambahan kepada Ora 07 Performance di Thailand adalah ciri parkir automatik.

Sementara itu, model Tank 300 telah dilancarkan di Thailand pada September 2023 dan ianya merupakan SUV yang juga menawarkan tema retro moden. Ada ciri seperti Jeep asal yang digabungkan dengan keperluan SUV moden.
GWM TANK 300 ditawarkan sebagai model Hybrid dengan jentera petrol turbo 2.0 liter yang menjana 244 kuasa kuda dan tork sebanyak 380Nm, motor hybrid pula menghasilkan 106 kuasa kuda dan tork 268Nm. Kuasa dihantar ke roda melalui kotak gear automatik 9-kelajuan dengan pemindah elektronik dan paddle shift.
Dengan harga bermula dari THB1.65 Juta (RM220K), GWM TANK 300 ianya diletakkan sebagai model yang agak premium.






