- Kereta sementara juga ditawar sementara masalah diselesaikan
- Sangkal dakwaan mereka tidak bertindak bila pelanggan lapor masalah
- Pembeli dakwa terma tawaran tidak dijelaskan kepadanya

Setelah tular kes sebuah Bezza yang rosak dalam tempoh 24 jam selepas diserahkan kepada pelanggan, Perodua Sales Sdn Bhd berkata mereka sudah mengambil pelbagai usaha untuk menyelesaikan isu tersebut, termasuk membuat tawaran membeli balik kereta bermasalah tersebut.
Dalam satu kenyataan ringkas, Ketua Pegawai Operasi, JH Rozman Jaafar berkata mereka telah mula berhubung dengan pelanggan yang terlibat sejak bulan Oktober lagi.


Ketua Pegawai Operasi Perodua Sales Sdn Bhd.
“Sejak itu, kami telah mengambil beberapa langkah untuk menyelesaikan isu terbabit termasuklah dengan menawarkan kereta sementara untuk digunakan serta menawarkan pilihan untuk membeli semula kereta berkenaan.
“Perodua juga telah memberi jaminan kepada pelanggan berkenaan untuk mengutamakan kes beliau dan kami juga ingin menepis dakwaan bahawa tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak syarikat untuk menyelesaikan isu ini.
“Siasatan menyeluruh berhubung isu ini sedang dijalankan dan kami akan berkongsi maklumat lanjut mengenainya selepas ia selesai,” kata JH Rozman.
Beliau juga memohon maaf bagi pihak syarikat di atas sebarang kesulitan yang timbul dan berterima kasih di atas kerjasama yang diberikan.

Kes ini tular di Media sosial selepas, Nagakanni Subramaniam yang membeli kereta tersebut di Segamat mendapati ia rosak kurang dari lapan jam selepas menerimanya.
Menurut laporan, keretanya mengalami kerosakan yang menyebabkan kenderaan itu terpaksa ditinggalkan di pusat servis.
Nagakanni, yang kini membayar pinjaman bulanan sebanyak RM537, memohon gantian kereta baharu, namun menurut beliau, sehingga kini belum menerima sebarang jawapan daripada pengeluar kereta tersebut.

Kisah ini mencetuskan kekecewaan di kalangan pelanggan, tetapi dengan tindakan proaktif Perodua, harapan untuk menyelesaikan isu ini terus terbuka.
Jika kita lihat pada jurang pendapat yang sangat besar antara dua pihak terlibat, mungkin terdapat kelemahan dalam perhubungan antara Perodua dan pembeli dan diharap ianya dapat dirungkai dan sebarang permasalahan diselesaikan dengan rapi dalam tempoh terdekat.
Update:
Nagakanni telah muatnaik satu lagi posting di FB selepas menerima kenyataan media Perodua


