Pakej terhad kepada 200 unit dan boleh didapati kepada pembeli model Proton X50 Flagship


Menuruti pengenalannya di MARii Autoshow 2023 pada bulan Mei, Proton kini mengesahkan harga pakej aksesori Edisi Ulang Tahun Ke-20 R3 untuk Proton X50 di Karnival X50 di Pusat Kecemerlangan Proton pada hari ini.
Direka untuk sambut dua dekad jenama R3, pakej ini terdiri daripada pembalut vinyl berwarna hitam satin, akit aerodinamik R3 yang direka khas (skirt hadapan, belakang, dan sisi), garisan bonet R3, spoiler bumbung belakang bergaya, rim aloi ringan 18” R3, Logo rim hadapan R3, plat nama pintu belakang edisi terhad R3, dan plat nama papan pemuka dalaman, sulaman sandaran kepala R3 untuk tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan, serta tikar R3 dan tinted tingkap Proton.

Terhad kepada 200 pakej dan boleh didapati kepada pembeli model Proton X50 1.5 TGDi dalam warna kelabu jet, pakej aksesori Edisi Ulang Tahun Ke-20 R3 berharga RM12,000 termasuk pemasangan dan boleh ditempah dari mana-mana outlet Proton. Penghantaran akan bermula dari pertengahan November 2023.


“Seiring dengan sambutan ulang tahun ke-40 syarikat pada 2023, ini adalah peluang yang sesuai bagi PROTON untuk mengiktiraf beberapa pencapaian lain kami. R3 telah menjadi sinonim dengan kejayaan Proton dalam arena motorsport serta membangunkan model dengan prestasi yang cemerlang bagi pelanggan kami yang peminat pemanduan.”


“Hari ini, jenama R3 tetap popular di kalangan peminat Proton yang telah menunjukkan sokongan mereka dengan membeli barangan jenama R3 dan pelinciran yang diformulasikan khas. Kami berterima kasih atas semangat mereka dan ingin memberi ganjaran kepada mereka dengan pakej aksesori ini yang dibangunkan khas untuk model SUV paling popular Proton,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.


