Perodua bakal perkenal varian Hybrid untuk D66B? Mungkin ini enjinya

Perodua terus berusaha untuk meningkatkan nilai jenama mereka dengan memperkenalkan model premium dan yang terbaru, mereka dijangka akan menghasilkan sebuah crossover segmen B yang dijangka menjadi flagship model.

Nama kod dalaman kereta ini ialah D66B dan ianya berdasarkan platfrom Daihatsu New Global Architecture -B (DNGA-B) dan setakat yang kami ketahui platform ini juga dibangunkan sebagai model D03B untuk lencana Toyota dan ianya sudah diperkenalkan dengan nama Yaris Cross.

Sebelum digunakan untuk D66b, platform ini telah diberikan dua top hat berbeza dalam bentuk Perodua Alza/Toyota Veloz dan juga Toyota Vios yang baru saja dilancarkan tahun ini.

Model Yaris Cross adalah sebuah Crossover yang kini merupakan gaya badan yang popular sekarang seiring dengan bentuk SUV yang mendominasi pasaran global.

Perodua mengambil langkah logikal dengan memperkenalkan produk ini kerana mereka mahu membina jenama yang boleh diterima sebagai berkualiti dan dapat bersaing dari segi spesifikasi dan rekabnentuk dan bukan saja dari segi harga seperti sebelum ini.

Crossover segmen B dilihat panas sekarang dengan beberapa model yang diperkenalkan mendapat perhatian dari pasaran, sudah tentu Perodua tidak mahu melepaskan peluang ini untuk menawarkan satu produk yang lebih besar dari pada Ativa yang merupakan model crossover segmen A mereka.

Platform DNGA yang digunakan sebelum ini untuk Alza dan Vios jelas fleksibel dengan menawarkan jarak gandar yang berbeza untuk aplikasi MPV dan sedan dimana model sedan duduk di atas gandar 2,620mm manakala model MPV dengan tiga barisan tempat duduk diberikan tambahan 130mm.

Berdasarkan maklumat tersebut kami menjangkakan rekabentuk crossover kemungkinan lebih hampir jarak gandar sedan kerana itulah jarak gandar yang digunakan pada Yaris Cross yang menwarkan dua barisan tempat duduk seperti sedan.

Gambaran Perodua D66B oleh Theophilus Chin

Jarak gandar ini hampir 100mm lebih panjang dari Ativa, cukup untuk memberikan ruang tambahan yang nyata kepada pembeli.

Menurut maklumat dari penyelidikan Kenangan Securities, model ini dijangka akan memasuki pasaran pada tahun 2024, sesuai dengan perancangan Perodua untuk memperkenalkan satu model baru setiap tahun.

Jentera 1.5-liter dijangka akan berkisar di bawah bonet model crossover terbaru ini, persoalannya enjin yang mana satu akan muncul dalam model terbaru Perodua ini.

Ramai yang menjangkakan enjin 2NR-VE yang digunakan dalam model Myvi dan Alza akan digunakan tetapi kami ingin mencadangkan bahawa ada satu lagi varian akan ditawarkan iaitu 2NR-VEX yang merupakan enjin kitaran Atkinson seperti yang ditawarkan dalam model Yaris Cross Hybrid.

X menandakan sistem hybrid dalam sistem penamaan enjin Toyota/Daihatsu sekarang.

Berbanding enjin VE yang menjana 105PS kuasa dan 138Nm tork , jentera VEX hanya menjana 91 PS dan 121Nm tork namun defisit ini tidak menjadi isu kerana dalam sistem pacuan hybrid yang digunakan pada Yaris Cross, sama seperti sistem pacuan hybrid yang digunakan oleh Ativa Hybrid, enjin tidak memutarkan roda secara mekanikal.

Enjin sekadar memutar dynamo untuk menjana kuasa elektrik yang dihantar ke bateri dan motor elektrik untuk menggerakkan kereta.

Berpandukan spesifikasi Yaris Bross Hybrid, motor elektrik yang digunakan menghasilkan 80PS kuasa dan daya kilas 141Nm.

Saya percaya model hybrid akan diperkenalkan kerana kumpulan Toyota, seperti juga Honda sedang menumpukan perhatian kepada model hybrid sebagai teknologi peralihan sebelum memperkenalkan mdel elektrik sepenuhnya dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Perodua dijangka akan mengambil langkah sama kerana ada kemungkina model Yaris Cross juga akan ditawarkan selepas ianya dilancarkan di Thailand pada bulan ini.

Walaupun kuasa maksimum lebih rendah dari enjin haba, namun daya kilas adalah lebih tinggi dan akan dijana dari pegun untuk menjada pecutan yang agak bertenaga.

Anda mungkin bertanya samada Perodua akan menggunakan tiga silinder 1.2 liter WA-VEX yang juga menggunakan kitaran Atkinson dan format hybrid seperti yang digunakan dalam model Ativa untuk untuk D66B memandangkan ianya menjana 105PS dan 170Nm tork.

Enjin WA-VE ini tidak ada dalam senarai enjin Perodua dan kegunaan utama ialah untuk model JDM Daihatsu dan Toyota

Ada juga yang mencadangkan kemungkinan enjin Ativa 1KR-VET 3 silinder 1000cc yang mampu menjana 97 kuasa kuda dan 140Nm tork digunakan. Blok enjin ini juga ditawarkan dalam bentuk pernafasanm atmosferik KR-VE yang merupakan varian yang ditala khas oleh Perodua untuk model Bezza dan Axia terkini.

Walaupun akur enjin ini menawarkan tork maksimum pada RPM yang lebih rendah berbanding enjin 2NR-VE, saya tak yakin mereka akan menawarkan enjin ini untuk D66B kerana Yaris Cross versi ASEAN menggunakan enjin Alza/Veloz 2NR-VE dan VEX untuk Hybrid.

Saya berpendapat enjin 1KR direka khas untuk segmen A kerana saiz yang kompak manakal segmen B akan menggunakan enjin 2NR.

Persoalannya sekarang ialah samada versi hybrid akan diperkenalkan semasa pelancaran atau semasa kemaskini pertengahan untuk memberi masa pembekal bersedia? saya rasa masa pelancaran kerana model hybrid Yaris Cross ditayangkan di Indonesia pada bulan Mei lalu dan dijangka akan dilancarkan juga di Thailand bulan ini.

Agak malulah jika Perodua, yang menguasai pasaran di Malayusia tidak dapat menawarkan versi Hybrid semasa pelancaran.

Dari sudut kemudahan dan keselesaan penumpang, kemingkinan besar model ini akan dilengkapi dengan pelbagai ciri moden seperti skrin multimedia sentuh dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

Sistem keselamatan juga akan ditingkatkan dengan penggunaan sistem ASA 3.0, termasuk brek kecemasan automatik, amaran brek pra-perlanggaran, Lane Departure Warning, Lane Keep Assist, serta pemanduan automatik tahap dua. Tambahan pula, ciri Adaptive Driving Beam juga akan disediakan dalam sistem lampu depan.

Kami menjangkakan model ini akan bermula sekitar RM75K dengan kemuncak sekitar RM90K untuk varian hybrid.

Leave a comment