
Bukanlah rahsia ataupun berita yang mengejutkan tetapi Kenanga Investment Bank telah meramalkan bahawa model-model Perodua D66B dan Proton S50 dijangka akan memasuki pasaran dalam tempoih terdekat.
Sebelum ini Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong telah dua kali menyebut bahawa model sedan terbaru mereka dijangka akan memasuki pasaran dalam bulan November.
Proton S50 dijangka akan menggunakan platform Geely Emgrand, dengan ciri-ciri utama termasuk tiang C tinggi dan tingkap belakang yang sedikit cenderung.
Pada awalnya, terdapat spekulasi bahawa Proton S50 akan menggunakan platform Geely Binrui, tetapi dengan penemuan prototaip Proton S50 dijalanraya, jelas rekabnentuk model ini tidak sama dengan Binrui yang mempunyai lakaran bumbung gaya coupe.

Selain itu, Geely Emgrand adalah sedan yang dijual oleh Geely di pasaran Filipina, yang merupakan pasaran ASEAN seperti Malaysia. Oleh itu, tidak mustahil untuk menganggap bahawa sebagai pasaran ASEAN lain, Malaysia akan menerima Emgrand sebagai gantinya Binrui.
Sementara itu ura ura model baru Perodua pula disemarakkan oleh pelancaran model Toyota Yaris Cross yang dibangunkan atas platform DNGA-B, iaitu platform yang digunakan oleh model Perodua Alza/Toyota Veloz dan Vios yang baru dilancarkan tahun ini.
Model Perodua dikatakan menggunakan kod dalaman D66B dan dijangka menjadi model hybrid pertama buatan Malaysia untuk Perodua. Model Ativa Hybrid yang ditawarkan untuk sewaan jangka panjang kepada pengguna adalah model impot dari Jepun.
Selain dari dua model berjenama tempatan ini, Proton juga dijangka akan memperkenalkan jenama smart sebelum tahun 2023 melabuhkan tirai.

Penganalisis Kenanga Investment Bank, Wan Mustaqim Wan Ab Aziz, menyatakan bahawa kedua-dua jenama tempatan ini terus mendapat sambutan dalam pasaran tempatan, terutamanya kerana mereka menawarkan harga yang bersaing dengan jenama-jenama bukan nasional.
Model-model ini juga menawarkan ciri-ciri teknologi yang ditingkatkan, seperti speedometer digital, enjin cekap bahan api, kotak gear yang responsif tinggi, dan ciri-ciri keselamatan seperti bantuan brek automatik dan beg udara sebanyak empat hingga enam.

Wan Mustaqim juga menggariskan pencapaian Perodua dalam perlumbaan pelancaran model-model baharu, dengan pelancaran Perodua Axia yang serba baharu pada tahun ini. Model ini mempunyai ciri-ciri yang ditingkatkan seperti meter kelajuan digital dan bantuan brek kecemasan.
Beliau menambah bahawa Proton juga telah melancarkan kenderaan elektrik hibrid ringan pertamanya, Proton X90 yang serba baharu, dan merancang untuk melancarkan Proton S50 serba baharu (sedan segmen C) dan smart (BEV) menjelang akhir tahun ini. Selain itu, lima model Proton yang sedia ada juga akan dipertingkatkan dalam tahun ini.
Wan Mustaqim juga memberikan unjuran jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi tahun ini sebanyak 720,000 unit, yang hampir sama dengan rekod yang dicapai pada tahun 2022 dan selaras dengan unjuran 725,000 unit yang diunjurkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA). Bagaimanapun, beliau meramalkan bahawa TIV pada tahun 2024 akan berkurangan menjadi 710,000 unit akibat pengenalan subsidi bahan api bersasar.
Namun, beliau yakin bahawa kebanyakan isi rumah Malaysia masih berminat dengan kereta baharu, walaupun inflasi yang tinggi dan ekonomi global yang perlahan. Ini disokong oleh keyakinan pengguna yang kukuh, ekonomi yang stabil, dan pasaran pekerjaan yang sihat. Harga yang mampu milik bagi kereta baharu juga turut menyumbang kepada pertumbuhan industri automotif. Selain itu, kos sewa beli yang berpotensi lebih murah dan model-model baharu yang menarik turut menjadi faktor penting dalam peningkatan permintaan.
Wan Mustaqim menekankan bahawa industri automotif masih kukuh dengan jumlah tunggakan tempahan sebanyak 235,000 unit, yang akan berlanjutan sehingga tahun 2024. Lebih separuh daripada tunggakan ini adalah hasil daripada pelancaran model-model baharu, dan trend ini dijangka akan berterusan sepanjang tahun. Selain itu, minat terhadap kenderaan elektrik (EV) juga semakin meningkat dengan pelancaran baru-baru ini oleh BYD Seal dan Tesla Model 3.
Secara keseluruhannya, pasaran automotif Malaysia menunjukkan potensi pertumbuhan yang positif dengan pelancaran model-model baharu yang canggih dan inovatif dari Perodua dan PROTON, serta minat yang masih tinggi dalam pembelian kereta baharu di kalangan pengguna Malaysia.

