
Kenderaan elektrik sepenuhnya dilihat sebagai anak emas pentadbiran Kerajaan Malaysia sekarang, dan ini membuatkan industri automotif secara keseluruhan terasa seperti dipinggirkan. Buat kali pertama, mereka bersuara memohon polisi yang lebih inklusif.
Dalam usaha mengecilkan tapak karbon negara, satu pintu baru sudah dibuka kepada industri automotive dalam bentuk pelepasan cukai impot dan duti eksais, disamping pengecualian cukai jalan sehingga 2025 untuk kenderaan elektrik sepenuhnya. Langkah ini tidak dijangka oleh industri dan telah menggalakkan kemasukan pelbagai model elektrik bateri dan juga jenama baru ke pasaran Malaysia, lebih penting lagi perubahan polisi mendadak ini telah menjadikan kereta elektrik sebagai buah mulut yang lebih popular.
Walaupun EV lebih dibincangkan dan minat bertambah, tetapi anjakan pasaran masih dilihat sebagai terhad, di mana pada tahun ini jualan BEV mungkin mencecah 10,000 unit atau 1.5 peratus pasaran dan mungkin berganda kepada 20,000 unit pada tahun 2024 atau sekitar 2.6 peratus.
Persoalannya apakah Malaysia boleh bergantung kepada EV sepenuhnya atau perlu ada perubahan dalam polisi bagi membolehkan negara mencapai aspirasi hijau seperti yang dijanjikan?
Dalam satu persidangan mengenai anjakan ke tenaga lestari, Malaysia telah menetapkan matlamat 15 peratus daripada jumlah industri keseluruhan (TIV) diwakili oleh kenderaan berelektrik atau xEV menjelang tahun 2030 dan sebanyak 38 peratus menjelang tahun 2040. Angka ini bukan saja melibatkan kenderaan bateri elektrik tetapi juga hybrid dan Plug in Hybrid (PHEV).
Kenderaan bateri elektrik dilihat sebagai watak utama di pentas automotif dunia sekarang, mengacau dan mengganggu struktur tradisional dan mengubah lanskap automotive pasaran utama dengan cara dan kadar di luar jangkaan pakar industri. Antara pencetus utama perubahan ini ialah industri automotif China yang digalakkan oleh pelbagai insentif kerajaan mereka dan mereka kini telah memasuki pasaran Malaysia dan menawarkan produk elektrik pada harga yang kompetitif.
Kemasukan Tesla pada tawaran harga bawah RM200,000 dilihat sebagai satu ledakan yang mungkin mengubah lanskap automotive Malaysia kerana ia sekaligus menerjah masuk ke pasaran pasaran massa dengan produk premium. Namun pengguna Malaysia dilihat masih kurang yakin dengan anjakan ke EV kerana infrastruktur pengecasan dikatakan jauh daripada mencukupi. Tambahan pula kenderaan elektrik memerlukan masa yang lebih panjang untuk dicaj berbanding kereta petrol atau diesel yang hanya memerlukan lima minit untuk diisi semula dengan bahan api.

Jenama besar di Malaysia seperti Toyota dan Honda percaya hybrid adalah penyelesaian paling praktikal dalam tempoh anjakan. Honda sudah menawarkan varian hybrid untuk hampir semua model yang mereka jual di Malaysia manakala Toyota pula sedang menambah varian hybrid secara berkala.
Jenama tempatan Proton baru memperkenalkan model mild hybrid pertama dalam bentuk Proton X90 manakala Perodua pula sedang melakukan kajian pasaran secara besar besaran dengan membawa masuk 300 unit Ativa Hybrid untuk disewa oleh awam. Hakikatnya jenama tempatan dan pemain besar industri yang berpangkalan di Jepun sudah melabur berbillion ringgit dan menyokong industri automotif Malaysia tidak mempunyai model elektrik sepenuhnya untuk ditawarkan pada harga kompetitif. Mereka melihat hybrid sebagai satu laluan untuk memperkenalkan teknologi pacuan elektrik kepada pengguna dengan lengan lebih teratur dan terurus. Ini mungkin berdasarkan kepada bukti anecdotal dimana pembeli masih takut dengan keupayaan bateri, kos mengganti bateri dan keselamatan kereta elektrik.
Industri automotif Malaysia juga tidak lupa dengan polisi hybrid lalu yang bersifat jangka pendek dan beberapa jenama kesal dengan keputusan tersebut kerana mereka sudah berbelanja untuk membangunkan pasaran. Kali ini MAA meminta kerajaan untuk menyatakan dengan jelas satu polisi yang lebih berbentuk jangka panjang yang lebih sesuai dengan sektor automotif yang memerlukan modal besar jangka panjang kerana setiap model berada di pasaran lima hingga tujuh tahun. Setidaknya mereka perlu yakin bahawa polisi akan kekal untuk kitaran dua model, setidak tidaknya, sebelum mereka boleh membuat perancangan jangka panjang untuk anjakan teknologi, rantaian bekalan, pemasaran, infrastruktur dan sebagainya.
Sekilas pandang, apa yang dicadangkan oleh MAA memang munasabah kerana teknologi hybrid terbukti mampu mengurangkan kadar penggunaan bahan api tetapi PHEV sudah pun mula kurang popular di sesetengah pasaran seperti Eropah. Ini kerana data menunjukkan ramai pembeli tidak mengecas kenderaan mereka dan akhirnya mencatatkan kadar pembakaran bahan api yang lebih tinggi daripada kereta biasa kerana model PHEV lebih berat daripada model ICE akibat membawa bateri dan motor elektrik.
Cadangan MAA dilihat sebagai cara pihak kerajaan melindungi pelaburan sedia ada industri automotif yang secara global sedang menghadapi risiko pelaburan terkandas akibat anjakan ke teknologi elektrik. Insentif untuk hybrid dilihat sebagai jalan tengah dimana industri dapat menyumbang kepada pengurangan tapak karbon sambil memberi mereka sedikit ruang untuk merancang anjakan ke elektrik dalam masa terdekat. Hakikatnya ada perubahan yang berlaku luar dari kemampuan kawalan industri mahupun kerajaan dan dalam tempoh satu dekad yang lampau kita telah melihat bagaimana industri telefon pintar dan kamera digital mendominasi dalam tempoh kurang 20 tahun. Walaupun secara dasar saya bersetuju pihak kerajaan perlu melihat bagaimana mereka boleh membantu industri automotif berubah dengan cara lebih teratur, ia adalah persoalan tempoh anjakan.
Sangat sukar untuk semua pihak meneka dengan begitu tepat tempoh masa yang akan diambil oleh anjakan ke teknologi pacuan baru namun kita mempunyai akses kepada data sejarah dan global bila mengkaji sebarang perubahan teknologi dan kadar anjakan. Lengkuk penerimaan teknologi atau Technology Adoption Curve ialah satu kumpulan data yang difahami ramai dan tidak perlu dijelaskan dengan panjang lebar. Graf ini menunjukkan bahawa apabila teknologi melepasi tahap penerimaan 10 peratus, ia mula melonjak secara mendadak dan sukar untuk dihalang, kriteria yang kerap kita nampak ialah teknologi tersebut perlu menawarkan kelebihan yang nyata untuk penerimaan mampan.
China yang kini menikmati jualan xEV 40 peratus pasaran, dimana hampir 30 peratus adalah kenderaan bateri sepenuhnya telah mengalami zaman insentif yang intensif oleh penguasa tempatan sebagai cara untuk mengurangkan pencemaran udara setempat. Akibat program galakan tersebut beberapa bandaraya besar China kini dapat menikmati udara yang lebih bersih, tetapi lebih penting lagi, pengguna kenderaan elektrik dilihat tidak ingin untuk kembali kepada pengangkutan ICE. Ini petanda mereka yakin dengan teknologi baru sebagai masa depan dan inilah yang memacu peningkatan pasaran seterusnya dan mendorong pemerhati industri untuk menyarankan fokus kepada teknologi BEV.

Teknologi Hybrid mempunyai tempat dalam ekosistem automotif tetapi ianya diakui sebagai teknologi perantara, sebab itulah penting sebarang polisi hybrid perlu bersandarkan kepada polisi EV. Kita lihat di Thailand bagaimana syarat pelepasan cukai adalah jelas dan mudah difahami, di mana pelaburan bernilai minima USD100 juta untuk kilang BEV diberi kelebihan dua kali ganda berbanding pelaburan jumlah yang sama untuk kilang hybrid. Mudah untuk syarikat automotif untuk berfikir samada berbaloi untuk melabur dalam kilang Hybrid atau BEV dan melakukan perancangan yang sesuai untuk masa depan.
Mungkin kita boleh menggunakan model yang sama untuk Hybrid dengan memberikan sokongan tetapi tidak sebanyak mana yang diberikan untuk kenderaan BEV yang menawarkan pengurangan pencemaran yang lebih besar dan pengurangan pembakaran petrol dan diesel yang lebih banyak. Penjimatan diesel dan petrol patut menjadi salah satu sebab perbe
zaan insentif kerana kerajaan kerap kali merungut mengenai jumlah subsidi petrol dan diesel yang terpaksa dibelanjakan.
Pendekatan inklusif yang dicadangkan oleh MAA ini mempunyai kesesuaian terhadap perkembangan global. Walau banyak mana insentif yang diberikan kepada hybrid, akhirnya pembeli akan lebih mahukan kenderaan elektrik sepenuhnya jika ia memenuhi keperluan mereka dan operasinya serupa atau lebih mudah dari ICE.
Sambil melihat kepada cara untuk menghargai pelaburan yang sudah memberikan negara kita kegiatan ekonomi bernilai besar sedia ada, kita juga perlu membangunkan industri baru maka kerajaan perlu lebih memikirkan insentif untuk memujuk OEM tradisional untuk berganjak cepat ke arah EV, demi untuk menyelamatkan mereka kerana ombak ini sukar untuk dihalang kerana ia adalah seperti tsunami 1000 tahun. Masa depan industri automotif Malaysia bergantung kepada kejayaan semua pihak mencari titik imbang yang tepat antara keperluan industry, pasaran, dan agenda peningkatan kecekapan tenaga negara.
Penting kita melihat sekeliling kita seadanya, tanpa melapikkan keinginan kita ke atas kenyataan kerana ini boleh mengelirukan analisis dan menjurus kepada sasaran yang tidak tepat.
Akhir sekalai untuk menjawab soalan samada insentif yang diminta MAA ini akan melambatkan penerimaan BEV di Malaysia? Saya rasa kesan dari insentif untuk hybrid tidak akan mendatangkan kesan yang besar, sebenarnya anjakan ini adalah global dan sama seperti anjakan ke telefon pintar, suka tak suka pasaran akan berganjak kepada produk yang menawarkan lebih berguna walaupun harga adalah lebih tinggi, selagi masih mampu milik.
Habis kuat pun, pasaran BEV mungkin terlambat setahun atau dua sahaja.

