Akhirnya VW tawarkan Adaptive Cruise Control untuk Golf, tapi GTI aje tau…

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah memperkenalkan Golf GTI yang telah ditingkatkan dan dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu inovatif, IQ yang turut menawarkan ciri keselamatan dan keselesaan Adaptive Cruise Control (ACC).

Kemasikini terbaru ini ditawarkan pada harga RM244,990 dan antara penambahbaikan yang ditawarkan termasuk pencaj tanpa wayar dan sulaman logo GTI pada kerusi depan.

Selain ACC, sistem IQ juga menawarkan ciri Side Assist berfungsi sebagai pemantau titik buta serta Rear Cross Traffic Alert memberi amaran kepada pemandu tentang sebarang halangan di belakan apabila gear undur diaktifkan.

Ia juga dilengkapi Front Assist, iaitu ciri Autonomous Emergency Braking (AEB) yang turut mengesan pejalan kaki dan penunggang basikal yang melintas jalan.

Ciri Lane Assist memastikan pemandu sentiasa berada dalam laluan yang betul dengan menggunakan bantuan pengekalan lorong berasaskan kamera.

Sekiranya kenderaan bergerak ke lorong lain ketika lampu isyarat membelok digunakan oleh pemandu, sistem ini akan berfungsi secara automatik dengan menarik semula stereng kembali ke lorong yang betul.

Fungsi Adaptive Lane Guidance memastikan kenderaan sentiasa berada di tengah-tengah lorong setelah sistem belajar daripada corak pemanduan pemandu.

Golf GTI dilengkapi dengan pelbagai ciri baharu pada bahagian dalaman dan luaran. Antara lain lampu kabus, cermin sisi boleh laras dengan ciri pemanas dan tujuh beg udara. Ia dilengkapi enjin turbo berkuasa 245PS dan tork 370Nm yang menjanjikan pengalaman pemanduan yang mengujakan.

Golf GTI mudah dikenali melalui gril hadapan jenis sarang lebah dan kemasan GTI berwarna merah. Jenteranya dilengkapi dengan rim aloi Richmond bersaiz 18” bersama angkup brek berwarna merah, serta lampu utama dan belakang LED.

Kenderaan ini turut dilengkapi dengan fungsi wireless App-Connect yang membolehkan pengguna menyambungkan telefon pintar mereka ke sistem infotainment kenderaan secara mudah.

Leave a comment