
Setelah sekian lama dinanti akhirnya Tesla telah membuat keputusan untuk masuk secara terus ke pasaran Malaysia menurut satu siaran media dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Tesla dikatakan akan membina pusat pengalaman dan juga pusat servis disamping membangunkan rangkaian pengecaj pantas yang bergelar Supercharger.
Siaran media kali ini tidak memberikan perincian yang jelas mengenai perancangan Tesla di Malaysia tetapi kita boleh mengagak apakah yang bakal berlaku berdasarkan pengalaman negara lain dan juga negara jiran di Thailand dan Singapura.
Tesla lebih gemar membangunkan rangkaian supercharger berbanding jenama lain yang lebih suka membiarkan pembangunan infrastruktur dilakukan oleh pihak ketiga.
Malah, sebelum Tesla masuk ke Malaysia secara rasmi sudah ada ura ura yang mereka mungkin membangunkan rangkaian supercharger walaupun mereka belum mula menjual produk di Malaysia supaya membantu pemilik di Thailand dan Singapura berhubung.
Sebenarnya Malaysia sudah terbit dalam radar Tesla kerana sudah beratus unit kenderaan syarikat tersebut diimpot secara selari ke negara ini untuk memenuhi peminat tempatan.
Walaupun tiada sokongan lepas jualan tempatan yang rasmi, pengimpot dan penjual telah berusaha membangunkan pusat selenggara luar sistem rasmi Tesla.
Antaranya ialah pusat selenggara yang dibangunkan oleh G-Mart di Kampung Melayu Subang.
Berita kemasukan Tesla ini dijangka akan memberi impak yang besar keatas industri automotif tempatan kerana ia adalah penanda aras penting pembangunan industri EV mana mana negara.
Tesla bukan sekadar menjual kenderaan tetapi juga membangunkan rangkaian caj yang membolehkan kehidupan dengan EV menjadi lebih munasabah.
Ini kerapkali menjadi pemangkin untuk lebih ramai pembeli bertukar kepada kenderaan elektrik dan juga mencetus minat jenama lain untuk mula menawarkan produk elektrik kepada pasaran.


Walaupun kelulusan sudah diberi, kita perlu membri masa untuk Tesla membangunkan operasi mereka di Malaysia dan unjuran kami mereka hanya akan bermula sepenuhnya pada penghujung tahun ini atau awal tahun 2024.
Ada pemerhati industri yang berpendapat Tesla akan mula mengambil tempahan pada suku ketiga atau keempat tahun ini dan mula menyerahkan kereta pada awal 2024.
Tesla selalunya bergerak lebih pantas dari jenama tradisional yang lain maka takpelik jika mereka akan mula beroperasi dan mengambil tempahan pada tahun ini juga.

Menteri MITI, Tengku Zafrul Aziz sangat mengalu-alukan kemasukan Tesla ke Malaysia dan mengatakan bahawa syarikat Austin ini merupakan yang pertama memohon dibawah inisiatif BEV Global Leaders.
Antara pembaharuan besar yang dijangka akan diperkenalkan ialah sistem jualan secara langsung kepada pengguna yang kini menjadi amalan Tesla di pasaran lain.
Bakal pembeli boleh pergi ke pusat pengalaman Tesla untuk melihat kenderaan secara fizikal sebelum menempah di atas talian.
Proses tempahan di atas talian adalah telus dengan pembeli diberikan nombor casis seawal ianya mula dibina di kilang dan tiada masalah pengedar menjongket harga apabila permintaan tinggi.
Kita juga tak boleh mengharap Tesla akan membuka pusat servis di banyak lokasi kerana di Amerika Utara pun mereka hanya ada 140 pusat servis. Bayangkan di Kanada, Amerika Syarikat dan Mexico hanya ada 140 pusat servis.
Sementara Toyota mempunyai sekitar 1,500 pengedar dan pusat servis di Amerika Syarikat.
Sebenarnya Tesla tidak membuka banyak pusat servis kerana kereta elektrik dikatakan tidak memerlukan lawatan selenggara yang kerap seperti kereta enjin petrol atau disel.
Saya pasti perkembangan terbaru ini akan membuatkan jenama lain gusar kerana gergasi utama industri automotif sudah masuk dan mengkin akan memecutkan anjakan kita ke zaman elektrik.

