Wheelcorp buka bilik pameran premium BMW di Bukit Tinggi

Pengeluar kenderaan premium memenuhi permintaan pelanggan yang kian meningkat di salah sebuah kawasan yang paling moden di Malaysia, dan mengunjurkan pertumbuhan sebanyak 20% dalam bilangan pelanggan segmen premiumnya sepanjang lima tahun yang akan datang, dimangkin oleh perungkaian pusat pengedaran Wheelcorp Premium Bukit Tinggi yang baharu.

Kuala Lumpur, 20 Disember 2022 – Menginjak tahun ke-10 sebagai wakil pengedar BMW bertauliah di Malaysia, Wheelcorp Premium dan BMW Group Malaysia baru sahaja merungkaikan bilik pameran terbaharunya yang bakal menampilkan fasiliti-fasiliti dirumus untuk menaik taraf perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelanggan.

Bilik pameran tersebut, yang terletak di Bukit Tinggi akan memuatkan aneka kenderaan baharu daripada portfolio BMW, BMW i, BMW M dan MINI, termasuk BMW Premium Selection – menjamin khidmat yang cemerlang buat para pelanggan di Klang dan kawasan sekitar seperti Shah Alam, Setia Alam dan Kota Kemuning.

Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkongsi, “Pelanggan merupakan tunjang kepada BMW Group Malaysia, dan sebagai peneraju dalam segmen premium industri automotif Malaysia, kami sentiasa berusaha untuk meluaskan lagi keberadaan kami di kawasan-kawasan baharu yang mempunyai potensi perniagaan yang besar. Klang, Shah Alam, Kota Kemuning dan Setia Alam di Lembah Klang merupakan antara kawasan tersebut.

Dalam tempoh lima tahun yang akan datang, kami bakal melihat segmen premium di kawasan ini bertumbuh pada kadar lebih 20% dan kami perlu bersedia untuk mengiringi kemajuan ini.” Berhubung dengan kenyataan tersebut, de Visser menambah bahawa mereka pastinya akan memberi tumpuan kepada rakan kongsi premium BMW Group Malaysia di kawasan berkenaan,

Wheelcorp Premium yang dengan jayanya telah menyerahkan lebih daripada 1,600 buah kenderaan premium dari cawangan Setia Alam mereka pada tahun ini. Sebut beliau, “Wheelcorp Premium tidak asing dengan BMW Group di Malaysia. Diterajui oleh Pengerusi Eksekutif Michael Liew dan Pengarah Urusan Jayden Liew – yang acap kali menempa nama di Majlis Anugerah Pengedar tahunan kami atas keupayaan mereka dalam meluaskan keberadaan pusat pengedaran mereka di Lembah Klang berserta dengan kejayaan demi kejayaan yang mereka lakar saban tahun.”

Pengarah Urusan Wheelcorp Premium, Jayden Liew turut berkongsi sentimen de Visser dengan menyatakan, “Sebagai salah sebuah pusat runcit dan servis bertaraf persendirian untuk BMW Group Malaysia selama 10 tahun, dan selanjutnya, kami kekal komited untuk menjadikan pengalaman BMW dan MINI tidak tertumpu kepada pembelian semata-mata kerana kami ingin meletakkan kepuasan pelanggan sebagai keutamaan tertinggi kami.

Kenyataan ini dibuktikan dalam tata atur bilik pameran kami yang baharu, di mana pejabat khidmat pelanggan kami kini telah dipindahkan ke tingkat bawah, yang berfungsi sebagai titik sentuh yang pertama, manakala bilik pameran itu sendiri terletak di aras pertama dalam bangunan bertingkat enam ini. Kami amat berterima kasih kepada BMW Group Malaysia dan para pelanggan setia kami atas sokongan mereka selama ini, dan kami berhasrat untuk terus berkhidmat buat pelanggan kami bukan sahaja menerusi kenderaan premium yang disediakan, tapi juga menerusi khidmat pascajualan kami yang komprehensif.”

Liew menambah bahawa pusat pengedaran Jualan, Servis, Alat Ganti dan Sistem (4S) Wheelcorp Premium serba baharu yang menjadi wakil kepada BMW Group hadir dengan kelainan dari segi pengalaman yang unik lagi bertaraf tinggi ditawarkan buat para pelanggan. Di samping pengalaman premium yang dapat dinikmati di Pusat 4S BMW Group ini, Wheelcorp Premium turut menaik taraf pengalaman pelanggan menerusi ruang NEXTGen Luxury, OGAWA Relaxation Zone dan juga Starbucks di salah satu daripada dua ruang singgah Isetta Bar yang terletak di sini.

Para pemilik BMW dan MINI juga boleh mengakses pusat servis 4S ini yang membekalkan khidmat jualan, servis, alat ganti dan sistem di Wheelcorp Premium Bukit Tinggi, turut disempurnakan dengan fasiliti pembaikan badan dan cat di pusat pengedaran Setia Alam. Pusat pengedaran Bukit Tinggi yang berkeluasan 170,000 kaki persegi ini memuatkan 20 ruang servis, membolehkan sebanyak 80 janji temu servis diuruskan setiap hari.

Ruang kerja yang baharu ini disinambungkan dengan servis pandu lalu segera bagi pelanggan yang memerlukan khidmat penyenggaraan dan pembaikan yang ringkas. Aneka fasiliti kemudahan pelanggan juga akan disediakan, yang mencakupi pembaharuan insurans serta perkhidmatan tukar beli, di samping Resepsi di Kereta (RATC). Untuk koleksi barangan dan aksesori, pelanggan boleh mengambil peluang untuk menelusuri seksyen gaya hidup BMW dan MINI.

Pusat pengedaran ini mempunyai kapasiti untuk mempamerkan sembilan unit kenderaan BMW, termasuk kenderaan daripada portfolio BMW M dan BMW i, di samping empat unit kenderaan MINI dan 25 unit kenderaan BMW Premium Selection serta MINI Used Car Next.

Fasiliti Pengecasan Pantas DC bagi kenderaan elektrik (EV) turut disediakan di Wheelcorp Premium Setia Alam berserta akses untuk orang awam melalui aplikasi ChargEV. Setakat ini, BMW Group Malaysia membekalkan pemilik EV BMW dan MINI akses ke atas lebih 610 buah fasiliti pengecasan di seluruh negara, dikuasakan oleh rakan-rakan industrinya seperti JomCharge yang mengoperasikan sekitar 65 stesen pengecasan, Gentari dengan sekitar 117 stesen pengecasan, dan ChargEV dengan lebih 330 stesen pengecasan – termasuk 26 fasiliti pengecasan yang dikuasakan oleh ChargEV bersama Yinson GreenTech di 17 outlet Starbucks dalam kawasan Lembah Klang, Pulau Pinang, Melaka, dan Johor.

Lebih daripada 80 buah fasiliti BMW i Charging juga disediakan di kebanyakan pusat pengedaran BMW dan MINI yang bertauliah di seluruh negara, dengan rancangan strategik untuk mengembangkan lagi infrastruktur ini pada tahun 2023.

Leave a comment